Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia Muhammad Syukri Ibrahim pada 8 Ogos 2008. Beliau berkata "Sekiranya AUKU itu dipinda untuk membolehkan mahasiswa berpolitik, saya percaya mahasiswa akan hilang tanggungjawab terhadap pembelajaran dan proses menuntut ilmu".
Mungkin ramai yang tidak berpendapat sedemikian. Walaupun lebih ramai pelajar-pelajar Melayu telah mendapatkan ijazah, tetapi hakikatnya, kualiti pelajar-pelajar secara umum masih diragui sektor swasta. Dua punca utama yang sering dibincangkan ialah penguasaan pertuturan dalam Bahasa Inggeris dan ketidaksesuaian subjek yang diambil di universiti. Tetapi apabila pemimpin mengimplementasikan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, ramai yang membantah.
Memang tidak dinafikan kedudukan istimewa orang-orang Melayu membolehkan ramai anak-anak Melayu kita mendapat peluang meneruskan pengajian di peringkat universiti. Saya juga tidak menafikan keberkesanan kedudukan istimewa ini yang telah merapatkan sedikit jurang perbezaan di antara orang Melayu dan bangsa-bangsa lain. Kedudukan ini telah membolehkan ramai anak-anak Melayu menceburi bidang-bidang profesional dan dunia koporat.
Namun, perkara yang membimbangkan saya ialah debat untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Ramai berpendapat bahawa pelajar-pelajar di universiti sudah matang untuk mengutamakan pembelajaran dan pada masa yang sama, ada yang berminat untuk berpolitik. Bagi saya, mereka yang ingin memansuhkan Akta ini berfikiran cetek. Dalam masa 4 tahun, anak-anak kita sepatutnya menumpukan perhatian bukan sahaja untuk lulus, tetapi lulus dengan cemerlang dan bersiap sedia untuk memasuki dunia pekerjaan. Ramai anak-anak kita yang masih menganggur walaupun mempunyai ijazah, seperti yang dilaporkan dalam akhbar "The Star" pada 5 November 2005, yang mana 60,000 lulusan universiti masih menganggur. Dua punca utama yang sering disebut oleh sektor swasta ialah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dan ketidaksesuaian mata pelajaran yang dipilih.
Di universiti juga, pelajar-pelajar perempuan jauh lebih ramai daripada lelaki. Anak-anak muda lelaki sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti mat rempit dan sebagainya. Persepsi ini semakin hari semakin berleluasa. Apabila YB Tan Sri Khalid memberi cadangan untuk membuka 10 peratus kerusi di UITM kepada orang-orang bukan Melayu, pelajar-pelajar bangkit menentang habis-habisan. Yang menyedihkan ialah apabila peluang diberikan, ramai yang mensia-siakan peluang ini sehingga bangsa lain marah.
Saya akui bahawa ramai orang Melayu yang telah berjaya hasil daripada polisi seperti Dasar Ekonomi Baru, tetapi perjuangan ini masih jauh perjalanannya. Jurang perbezaan juga semakin besar. Kita perlu "lari" lebih laju dari bangsa-bangsa lain untuk "mengejar", bukan "lari" sama laju supaya dapat merapatkan jurang. Jika keutamaan ini tidak diberi dan pelajar-pelajar hanya berminat untuk berpolitik, berdemonstrasi dan terjebak dalam gejala sosial, tidak hairanlah kenapa jika generasi ini akan gagal menaikkan taraf orang-orang Melayu. Pelajar-pelajar yang menentang pembukaan kerusi di UITM kepada orang-orang bukan Melayu perlu membuktikan kepada masyarakat umum bahawa mereka betul-betul berhak mendapat peluang dan kedudukan istimewa itu.
SIAPA PECAH RUMAH MELAYU ? SIAPA HALAU MELAYU ?
10 hours ago