Saturday, March 14, 2009

Pertahan resipi kekuatan Melayu (03) : RAJA NAZRIN SHAH


Beta percaya terdapat banyak lagi bahan penyelidikan dan penulisan tentang bangsa Melayu yang telah, sedang dan akan terus dilakukan. Minat di kalangan bukan Melayu melakukan penyelidikan terhadap bangsa Melayu memperlihatkan bahawa Melayu itu adalah satu bangsa yang sentiasa mendapat perhatian dari pelbagai pihak.

Definisi "Melayu" itu tidak terhenti daripada terus menjadi bahan diskusi dan subjek kajian. Definisi bangsa Melayu itu tidak terbatas kepada satu definisi sahaja. Tergabung dalam rumpun Melayu itu himpunan kekayaan pelbagai suku keturunan yang juga menguasai pelbagai dialek dan pelbagai subbudaya.

Alam Melayu itu merentasi kawasan geografi yang luas dari Filipina ke Madagascar, dengan saiz komuniti berjumlah 350 juta. Melalui perdagangan dan penghijrahan, rumpun Melayu itu turut merentasi kawasan geografi yang luas, mengembara jauh di luar gugusan kepulauan Melayu.

Terdapat pelbagai deskripsi menggambarkan watak Melayu. Melayu digambarkan bangsa yang bertoleransi, penuh beradat - sangat bersopan, juga digambarkan suka melatah, mudah mengamuk. Dalam hikayathikayat lama dan cerita-cerita rakyat, terkandung pula sifat-sifat dendam, khianat, dengki, menipu, zalim, bodoh dan malas yang diimbangkan pula dengan sifat-sifat mulia, adil, ikhlas, jujur, cerdik, rajin, tekun, taat dan setia.

Jika demikian pelbagai deskripsi tentang bangsa Melayu ini, rumusan yang dapat disimpulkan ialah bangsa Melayu itu adalah insan yang bernama dan bersifat manusia, kerana sifat dan karakter manusia yang pelbagai itu, terdapat di kalangan semua bangsa dan tamadun lain, baik di Barat mahupun di Timur.

Gugusan kepulauan Melayu itu berada di antara dunia barat dan dunia timur, demikian juga antara Asia barat dan Asia Timur. Ia merupakan gugusan yang amat terdedah kepada dunia. Pelbagai agama, budaya dan bahasa sampai ke gugusan kepulauan Melayu, lalu berlaku proses integrasi dan asimilasi pengaruh daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa. Bahasa Sanskrit dan Arab sebagai contoh telah mempengaruhi pemikiran dan tahap literasi bangsa.

Perkataan daripada bahasa-bahasa Parsi, Mandarin, Tamil dan Portugis, turut terdapat dalam perbendaharaan kata Melayu. Pengaruh bahasa Inggeris begitu dominan, susulan daripada pengembangan sistem pendidikan serta kemajuan sains dan teknologi.

Ini telah mempengaruhi Bahasa Melayu itu berubah secara dinamik dengan perbendaharaan kata yang semakin bertambah. Bahasa Melayu telah melalui proses transformasi, berasal dengan bahasa lisan, diperkaya dan diperkembangkan melalui adaptasi penulisan, bermula dengan tulisan jawi, disusuli dengan tulisan rumi. Perkembangan bahasa Melayu itu telah berperanan penting dalam meningkatkan daya intelek dan daya analisis bangsa.

Demikian juga proses penyerapan, pengubahsuaian, percantuman yang berlaku dalam budaya Melayu. Nyatalah Melayu sebagai satu rumpun bangsa, sebagai satu budaya kehidupan, tidak statik. Rumpun Melayu itu berupaya melakukan adaptasi kepada dinamik yang berlaku di persekitaran kehidupannya dan berupaya melakukan perkasaan sosial dan penyesuaian ideologi. Namun bangsa itu juga secara bijaksana berupaya mempertahankan identiti asas bangsanya, secara bijaksana berupaya mengimbangkan antara yang lama dengan yang baru, antara tradisi dan modenisasi, antara lokal dan global. Bangsa Melayu yang memiliki jati diri yang tinggi telah berjaya melakukan perubahan tanpa melupakan tradisi dan nilai kesinambungan.

The Malays memetik dan mengulas kata-kata hikmat pesanan Hang Tuah, "Tak kan Melayu Hilang Di Dunia". Kemudian mencatatkan peringatan Munsyi Abdullah bahawa survival bangsa sebenarnya bergantung pada pelajaran, dan merakamkan kebimbangan Ishak Haji Mohamad bahawa "Melayu itu boleh hilang di dunia".

Berlaku pertentangan ungkapan antara pahlawan Melayu bernama Hang Tuah dan nasionalis Melayu bernama Ishak Haji Mohamad, di tengah-tengah peringatan seorang Munsyi bernama Abdullah.

Sewaktu menyampaikan titah di International Conference on Malay Civilization pada 30 September 2002, beta pernah memajukan persoalan menyentuh perkembangan antara tuntutan tradisi (claims of tradition) dan permintaan terhadap kemodenan (demands of modernity) dalam masyarakat pada hari ini. Dikatakan bahawa budaya yang progresif menekankan kepada masa depan sementara budaya yang statik menekankan sejarah lama dan suasana semasa.

Peringatan beta, jangan bangsa sampai ke peringkat keterlaluan. Bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan dilaksanakan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan bangsa. Bahawa elemen-elemen yang berperanan sebagai faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan.

No comments: